Sesi Raptai Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Berjalan Lancar - Utusan Online
- Butiran
- Sharaimei Shaik Ahmedullah
PESERTA kesenian menyertai raptai Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya di sini hari ini. Putrajaya dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. - UTUSAN ONLINE/RASHID MAHFOFÂ
PUTRAJAYA 26 Ogos - Cuaca panas yang disusuli hujan gerimis tidak menghalang peserta-peserta yang terlibat dalam sesi raptai sempena acara sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini terus menjalani latihan bagi memastikan acara tersebut berjalan lancar.
Sesi raptai tersebut yang bermula sejak awal pagi hingga tengah hari tadi di Dataran Putrajaya di sini disertai anggota pasukan pancaragam, tarian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli, untuk acara sambutan kali ini sebanyak 900 peserta yang terdiri daripada artis kebudayaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum dan kanak-kanak Permata Seni akan membuat persembahan untuk sepanjang program tersebut.
"Untuk tahun ini, JKKN bukan sahaja terlibat dalam persembahan pembukaan dan penutupan tetapi juga menguruskan keseluruhan acara persembahan dan perbarisan.
"Untuk acara pembukaan dan penutupan, kita akan mempersembahkan pelbagai lagu-lagu patriotik untuk membangkitkan semangat orang ramai terutamanya ketika di akhir perbarisan supaya dapat menanamkan semangat patriotik kepada mereka biar pun selepas meninggalkan majlis ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Norliza berkata, sebanyak 14,806 peserta yang terdiri daripada pasukan beruniform, penjawat awam, swasta, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan lain-lain akan terlibat dalam acara perbarisan tersebut.
Malah, katanya, sebanyak 68 aset udara dan 78 aset haiwan iaitu anjing serta kuda akan turut terlibat dalam persembahan kali ini.
Norliza berkata, latihan penuh untuk sambutan tersebut akan bermula pada pagi esok dengan melibatkan pertunjukan udara oleh aset udara ATM antaranya helikopter, pesawat pejuang dan pesawat pengangkut manakala raptai penuh acara tersebut akan diadakan pada Selasa ini.-UTUSAN ONLINE
Utusan Melayu (M) Bhd